Assalamualaikum dan Salam Sejahtera buat sahabat sekalian
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Ta’ala kerana kita masih lagi diberikan kesempatan untuk mengumpul ‘bekalan’. Marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh dalam mencari keberkatan dan keredhaan-Nya. Semoga kita semua dianugerahkan taufiq dan hidayah daripada-Nya, Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Pada kali ini saya ingin berkongsi info berkaitan strategi memudahkan agihan harta pusaka dlm bentuk mudah cair. Saya sebenarnya bukanlah orang yang mahir dalam ilmu ini. Oleh itu saya mohon sahabat yang lebih mahir untuk menegur jika terdapat kesalahan.
Tentu anda sudah mengetahui tentang ilmu faraidh, sistem pembahagian pusaka secara Islam. Wajib bagi semua ahli waris mengikuti hukum faraidh yang diturunkan oleh Allah Ta’ala dalam surah An-Nisa ayat 11,12 dan 176. Tiada hukum di dalam Al-Quran yang paling detail melainkan hukum faraidh. Hukum yang Allah Ta’ala turunkan sendiri secara terperinci. Hukum yang lain seperti solat, wudhu dan puasa diperincikan lagi dengan hadith Rasulullah S.A.W.
Di Malaysia, kes-kes harta pusaka yang belum diselesaikan amat banyak dan membimbangkan. Puncanya adalah kerana waris-waris perlu melalui beberapa proses pentadbiran yang merumitkan sebelum mereka memperolehi harta pusaka. Antaranya melantik wasi, pergi ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan Sijil Faraidh. Kemudian ke Mahkamah Tinggi (kalau harta melebihi RM2 juta). Jika kurang daripada RM2 juta dan mempunyai harta tidak alih (spt rumah dan tanah) kita ke pergi ke Pejabat Tanah untuk buat urusan. Jika ada harta alih sahaja dan kurang RM 2 juta maka ke ARB. Kemudian perbicaraan yang memerlukan kehadiran semua ahli waris. Dan banyak lagi urusan remeh-temeh yg lain…
Proses yang merumitkan ini memakan masa, paling cepat 3 bulan. Tapi yang selalu berlaku jika kurang mahir, ianya boleh berlanjutan sehingga beberapa tahun. Memang tidak dinafikan terdapat punca-punca lain yang melambatkan pembahagian pusaka. Antaranya, perselisihan antara ahli waris, ahli waris tidak dapat dihubungi, dokumen hilang, pewaris tidak memaklumkan tentang hartanya, kos yang sangat mahal, pewaris tidak membuat perancangan harta pusaka dan sebagainya. Anda juga mungkin pernah terbaca keratan akhbar tentang isu-isu harta pusaka seperti yg terdapat di dalam blog ini.
Di sini, saya cuma mahu membandingkan kelebihan menyimpan sendiri Dinar Dirham berbanding simpan wang di dalam bank dari perspektif pengurusan harta pusaka.
Apabila seseorang meninggal dunia, bank akan terus membekukan segala wang yang disimpan oleh si mati. Tiada siapa yang dibenarkan membawa keluar wang si mati walaupun ahli warisnya sendiri !!! Walaupun ahli waris sendiri !!! (melainkan ahli waris ada kad ATM dan nombor pin si mati)
Tentu ada antara kita yang mengalami situasi seperti di atas. Cuba bayangkan jika seorang suami meninggal dunia yang masih mempunyai anak-anak kecil dan si isteri pula seorang suri rumah. Bagaimana mereka dapat menguruskan keperluan harian mereka jika semua wang si suami di dalam bank tidak dapat dikeluarkan sehingga proses pengurusan harta pusaka selesai.
Tetapi jika byk menyimpan dinar sebaliknya. Pewaris yang masih hidup tidak perlu bersusah payah mencari alternatif kewangan sementara sebelum selesai urusan pentadbiran pusaka sepenuhnya. Wang dinar itu juga lebih mudah untuk diagihkan kepada ahli waris selepas kematiannya.
Setelah pewaris meninggal dunia, dinar itu senang dicairkan. Mungkin mudah, boleh diselesaikan dengan cepat (melainkan ada perbalahan antara waris – ini kena bagi terangkan kefahaman kepada mereka berkenaan faraidh)
Apa yang diperlukan khidmat Perancang Harta Pusaka Islam untuk menentukan bahagian setiap ahli waris terhadap harta yang ditinggalkan itu dpt dilaksanakan dgn adil dan berkesan.
Contoh Pengiraan Faraidh dengan Dinar (D)
Seseorang meninggal dunia, meninggalkan seorang isteri, ibu, bapa seorang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Harta yang ditinggalkan adalah sebanyak 104D. Kos pengurusan jenazah 2D dan hutang si mati adalah 30D..
Kos urus jenazah = 2D
Baki = 104 – 2
= 102D
Hutang = 30D
Baki = 102 – 30
= 72D
Baki harta yang akan diberikan kepada ahli waris ialah = 72D
Dalam hukum faraidh isteri akan mendapat 1/8 (sebab ada anak), ibu dapat 1/6 (sebab ada anak), bapa dapat 1/6 (sbb ada anak lelaki). Baki (13/24) diberikan kpd anak lelaki dan anak perempuan dengan nisbah 2 bahagian untuk lelaki dan 1 bahagian untuk perempuan.
Selepas pengiraan maka -
Isteri mendapat 9/72 = 9D
Ibu = 12/72 = 12D
Bapa = 12/72 = 12D
Anak lelaki = 26/72 = 26D
Anak perempuan 13/72 = 13D
Kesimpulan
Apabila urusan pembahagian selesai, bukan setakat ahli waris sahaja yang dapat kesenangan, malah ekonomi umat Islam akan terus berkembang pesat kerana tiada lagi harta yang terbeku gara-gara semua wang disimpan di dalam bank dan sebagainya.
Marilah kita sama-sama bersatu dalam memperjuangkan Dinar dan Dirham sebagai matawang Islam dalam menggantikan sistem ekonomi yang tidak adil kepada sistem ekonomi Islam yang memberikan keadilan kepada semua tidak kira bangsa dan agama. Dicadangkan supaya kita mula merancang berusaha memiliki harta dalam bentuk Dinar Dirham sekitar 30% dari jumlah keseluruhan aset mudah alih kita nanti.
Kita tunjukkan bahawa Islamlah penyelesaian yang terbaik bagi memelihara semua manusia di bumi Allah Ta’ala..
Wallahu a’lam


